Seorang penyair Farsi pernah bermadah:

‘ Tidak semestinya dengan memandang (wajah) sahaja cinta terbentuk. Kadangkala khazanah cinta terbentuk dengan perkataan.’

Sebagaimana lahirnya cinta kita kepada Allah swt dan Rasulullah saw.
Kisah cinta Rabiatul Adawiyah kepada Rabbnya, menolak pinangan kerana cintanya hanyalah untuk YANG SATU...dan cintanya Bilal bin Rabbah kepada Rasulullah saw. Wafatnya Baginda, Bilal tidak lagi dapat melaungkan ‘azan kerana terlalu sedih mengingati Baginda. Kisah cinta sejati yang lahirnya dari sekeping daging yang suci, itulah............HATI........yang banyak berkata-kata...

Sunday 10 June 2012

RAHSIA DUA RAKAAT QABLIAH SUBUH...


Suatu ketika Rasulullah saw terlewat ke mesjid untuk solat Subuh.  Sampai di masjid, Baginda terus mengimami solat.  Selepas solat, Rasulullah saw memberitahu sebab kelewatan.  Ada urusan tertentu yang perlu baginda selesaikan.  Kemudian baginda menunaikan dua rakaat sebelum Subuh.

“Bukankah tuan sudah terlewat benar, wahai Rasulullah?” Bilal bertanya, seakan membawa maksud, ‘sudah lambat pun masih menyempatkan diri untuk solat sunat dua rakaat?’

Jawab Rasulullah saw, “Sekiranya aku terlambat lebih daripada itu, aku tetap akan solat dua rakaat dengan sempurna.”

Baginda menggambarkan kelebihan solat dua rakaat qabliah Subuh melalui sabdanya, “ Dua rakaat fajar lebih baik daripada dunia dan segala yang ada di dalamnya.” Dalam riwayat lain: “ Lebih aku sukai daripada dunia seisinya.”  (Riwayat Muslim.)

Sumber: anis oktober ‘10

KELEBIHAN SOLAT DI SISI RASULULLAH S.A.W.


 
Solat adalah lambang pengabdian kita selaku hamba kepada Allah Yang Maha Pencipta. Antara kelebihan dan hikmahnya:

i) Dalam solat terjalin hubungan antara seorang hamba dengan Tuhannya sehingga tidak ada tabir pemisah di antara orang yang menunaikan solat dengan Allah.
Diriwayatkan daripada Umamah r.a. bahawa Baginda saw bersabda, “ Sesungguhnya jika seorang hamba sedang mengerjakan solat, maka syurga-syurga akan dibuka untuknya dan akan tersingkap semua tabir penutup antara dirinya dengan Tuhannya, dan ia akan disambut oleh bidadari yang cantik selama ia tidak mengeluarkan hingus.  (Riwayat Imam al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir).

ii)Solat mendatangkan keampunan, rahmat dan keredhaan Allah bagi orang yang melaksanakannya.
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda, “Waktu yang pertama dari solat adalah keredhaan Allah dan waktu yang terakhir adalah ampunan Allah.”  (Riwayat Imam Tirmizi.)

iii)Allah dan para malaikat berbangga terhadap orang-orang yang menunaikan solat.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda, “Para malaikat saling bergilir-gilir pada waktu malam dan malaikat-malaikat yang bertugas pada waktu siang.  Mereka semua berkumpul pada waktu solat subuh dan solat Asar.  Kemudian naiklah malaikat-malaikat yang telah duduk bersama kalian.  Lalu Allah bertanya kepada kalian dan Dia adalah lebih tahu daripada mereka.  Allah bertanya ‘Bagaimana keadaan hamba-hamba-Ku ketika kalian tinggalkan?  Mereka menjawab, ‘Ketika kami tinggalkan mereka, mereka sedang melaksanakan solat, dan ketika kami mendatangi mereka, mereka juga sedang melaksanakan solat.”  (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.)


Dipetik dari Anis julai ’11.

SYUKUR


Sabda Rasulullah saw:
“ Sesiapa yang diberi suatu kebaikan,  hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur.
Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang
diberi, ia dianggap sebagai kufur nikmat.”

     Riwayat at-Tabrani