Seorang penyair Farsi pernah bermadah:

‘ Tidak semestinya dengan memandang (wajah) sahaja cinta terbentuk. Kadangkala khazanah cinta terbentuk dengan perkataan.’

Sebagaimana lahirnya cinta kita kepada Allah swt dan Rasulullah saw.
Kisah cinta Rabiatul Adawiyah kepada Rabbnya, menolak pinangan kerana cintanya hanyalah untuk YANG SATU...dan cintanya Bilal bin Rabbah kepada Rasulullah saw. Wafatnya Baginda, Bilal tidak lagi dapat melaungkan ‘azan kerana terlalu sedih mengingati Baginda. Kisah cinta sejati yang lahirnya dari sekeping daging yang suci, itulah............HATI........yang banyak berkata-kata...

Sunday 27 May 2012

PERANAN LIDAH...


Jangan  biarkan  lidah  'memandu' kita ke neraka

Berbicara berdasarkan pengetahuan bukan buat tohmahan menyakitkan hati.

KEMAJUAN teknologi dan kecanggihan medium komunikasi hari ini memungkinkan silaturahim manusia bertambah erat, malah sistem perantaraan yang serba pantas sedikit sebanyak turut memberi kesan yang positif dalam sistem penyampaian. Sungguh pun begitu, setiap sesuatu adalah baik sekiranya ia digunakan dengan baik dan begitulah sebaliknya.

Begitu juga dalam hal yang berkaitan dengan komunikasi sesama insani. Sebelum adanya medium komunikasi maya, kita hanya bermuamalah antara satu sama lain dengan cara bersemuka dan melalui alat perhubungan jarak jauh seperti surat, telefon, faks dan sebagainya. Walaupun komunikasi jarak jauh tidak sama dengan komunikasi bersemuka, tetapi kita tetap menjaga budi bahasa dalam berbicara. Memang itulah juga yang dituntut oleh agama kerana adab ketika berbicara antara sesama manusia bukan hanya sekadar apabila kita menghadap wajah, tetapi perlu disantuni setiap masa.

Begitu juga hubungan kita dengan makhluk Allah SWT yang lainnya. Lantaran Allah SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain, maka manusialah yang harus bersopan santun sewaktu bermuamalah dengan sesiapa saja, termasuklah kepada binatang dan alam. 

Keistimewaannya  yang  paling  utama  ialah  Allah  menciptakan akal supaya manusia  berfikir,  maka  fikirlah setiap satu matlamat dan akibat atas setiap kali kita berbicara.

Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia meskipun hanya dengan menggunakan dua tangan atau lirikan mata sebagai isyarat. Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4 bermaksud: “Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang telah mengajarkan al-Quran, Dialah yang telah menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.” Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk memanfaatkan lidah supaya sentiasa mengungkapkan kalimah yang mulia agar setiap butiran bicara itu mendapat keredhaan Allah.

Bicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik mempunyai tatacara dan adab yang tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta sikapnya. Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah adalah ibadat yang besar pahalanya.  Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Perkara yang paling utama apabila kita berbicara ialah jangan sekali-kali kita berbicara mengenai sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa.  Malah mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan atau keterlanjuran berkata-kata mengenai sesuatu yang tidak pasti dan sia-sia. Di dalam Surah Al-Mukminun, ayat 1-3 Allah SWT merakamkan kalam yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan pula berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana, kerana orang yang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan mengaplikasikan pengetahuan dalam berbicara dan jangan pula berdebat dengan orang yang berperangai buruk atau terlalu banyak tohmah kerana mereka akan menyakitkan hati saja. Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan. Abu Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada hari Kiamat. (Riwayat Muslim.)

Tutur kata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan.

Walau bagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina, memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor, mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Daripada Jundub bin Abdullah ra., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada seorang lelaki berkata: Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si polan itu.’ Allah Azzawajalla lalu bersabda: “Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si polan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.“ (Riwayah Muslim.)

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Kalau diperhatikan, perbualan hari ini banyak yang menyentuh perihal orang lain. Banyak kali ia mengakibatkan perasaan yang terluka jika diketahui si empunya diri mengenai tohmah yang dilempar, sering kali pula mangsa tohmah memutuskan silaturahim kerana tidak ingin memaafkan orang yang mengata. Hal ini amatlah memalukan umat Islam yang utuh dengan sikap saling menghormati sesama saudara seagama dan takutkan kekufuran kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain, melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat itu.” (Riwayat al-Bukhari).

Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai-sungai yang luhur dan tanah-tanah yang subur. Biar kita diuji dengan tohmah jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana dunia yang banyak onar.

Oleh: Nik Salida Suhaila – berita harian 22/3/12.

p/s: Sebagai peringatan kepada sesiapa yang telah membaca artikel ini dan kepada yang baru membaca, hayatilahnya. Banyak sangat ketikanya, kita lebih  kerap menambah bilangan musuh dari kawan dengan lidah kita, disebabkan kita tidak dapat menjaga kata-kata kita.

Wednesday 23 May 2012

ISTIMEWA KAUM WANITA....


Kelebihan khusus yang diberi Allah swt kepada wanita

v Syurga bagi seseorang anak berada di bawah tapak kaki wanita (ibu).

v Seorang ibu lebih utama ditaati oleh anak berbanding dengan ayah.

v Mulut ibu lebih ‘masin’ daripada mulut ayah – doanya untuk anak-anaknya lebih makbul kerana, menurut Rasulullah saw, ibu lebih penyayang daripada ayah dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.

v Wanita berhak mendapat layanan penuh ihsan daripada ahli keluarganya.  Kalau  seorang ayah bawa pulang sesuatu  untuk anak-anaknya, Nabi saw menyarankan pemberian kepada anak perempuan.  Allah swt  juga menjanjikan syurga kepada ayah atau adik-beradik lelaki yang bersikap ihsan dalam pergaulan dengan anak perempuan atau adik-beradik perempuannya serta mendidik mereka dengan penuh rasa  taqwa serta sikap bertanggungjawab.  Dalam satu hadis riwayat Aisyay r.a., Nabi saw bersabda bahawa ibu bapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya lalu dia buat baik kepada mereka,  anak-anak itu akan menjadi penghalang bajinya daripada api neraka.

v Rasulullah saw memberi  jaminan kepada isteri yang solat lima waktu, puasa di bulanan Ramadhan, memeliha kehormatannya dan taat kepada suaminya, akan dipersilakan masuk ke syurga dari mana-mana pintu yang dikehendaki.

v Seorang ibu yang tidak tidur semalaman kerana menjaga anaknya yang sakit akan diberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah swt.

Tuesday 8 May 2012

TIDUR ORANG BERIMAN...



Tidur adalah rutin harian seorang manusia yang diciptakan Allah sebagai ‘satu’ mekanisme’ untuk kerehatan tubuh badan yang penat kelelahan setelah seharian membanting tulang mencari rezeki tuhan.
Firman Allah swt: “Dan Kami jadikan tidur sebagai istirehat.” (An-Naba’:9)

Walaupun hukum asal tidur itu mubah yakni harus, namun tidur seseorang itu boleh menjadi ibadah, berpahala dan menjadi asbab taqarrub kepada Allah swt.  Untuk menjadikan tidur kita berpahala dan menjadi ibadah hendaklah kita menjadikan tidur Nabi saw sebagai contoh teladan kita.

Justeru tidur orang beriman beroleh pahala kerana tidur mereka dihiasi adab dan tata cara yang mulia sepertimana yang dianjur dan diteladani Rasulullah saw.  Manakala tidur orang fasik dan ‘Asi (derhaka) adalah tidur yang penuh kelalaian, kelekaan malah berdosa pula di sisi tuhan.  Tidur orang beriman diawali niat yang tuntas iaitu  untuk membantu menguatkan ibadah kepada Allah.  Seterusnya mereka membaca wirid, zikir dan doa.

Sabda Nabi saw, “Siapa yang membacanya (ayat Kursi) saat hendak tidur, maka sesungguhnya dia selalu berada dalam perlindungan Allah dan tidak didekati syaitan hingga pagi hari.”
(Riwayat al-Bukhari, Fathul baari 4/487).

Sedar Tidur Saudara Kematian

Tidur mereka juga dihiasi istighfar dan selawat ke atas Rasulullah saw.  Seperkara lagi, tidur orang beriman dimulai dengan mengambil wudhuk bagi mensucikan dirinya.  Mereka tidak mahu tidur dalam keadaan bernajis dan berselimutkan kemaksiatan dan kelalaian.

Kenapa mereka berdoa, berzikir, bermunajat dan bersuci sebelum melelapkan mata?  Kenapa semua itu menjadi terlalu penting buat mereka?

Semuanya kerana kesedaran dan keinsafan bahawa tidur itu saudara kematian.  Bukannya tiada jaminan langsung bahawa seorang itu dapat hidup semula setelah tidur mereka.  Berapa ramai manusia yang telah menghembuskan nafas terakhir saat mereka nyenyak di dalam tidur?

Mati yang datang tiba-tiba itu boleh sahaja bertandang saat tidur seseorang.  Atas dasar dan kesedaran itu, orang beriman tidak mahu menghadap Allah swt dalam keadaan tidak bersuci terlebih dahulu.

Selain itu, tidur dalam keadaan bersuci turut mengundang kebaikan yang banyak, di antaranya beroleh doa daripada para malaikat.  Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda, “ Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya.  Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa, “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si Fulan kerana tidur dalam keadaan suci?” (Hadith ini disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Sahih At-Targhib wat Tarhib 1/37)

Penting sekali untuk dihadamkan bahawa tidur sebenarnya bukan sekadar urusan istirahat, dan bukan sekadar urusan berhenti dari sebarang aktiviti fizikal.  Tidur yang kita lalui juga merupakan urusan pengabdian yang telah menciptakan siang untuk bekerja dan malam untuk kita beristirehat.

Tidur adalah sebuah cita-cita untuk bangun lagi atau cita untuk bertemu Sang Maha Pencipta.

Sumber: anis sept ’11)

Sunday 6 May 2012

HASAD..


Tinggal Hasad,                              Nescaya Tenanglah Hatimu........

Hasad dengki adalah mazmumah dalam klasifikasi yang sangat berprofile tinggi.  Masakan tidak, perhatikan! Azazil asalnya adalah makhluk Allah yang sangat taat akhirnya bertukar menjadi iblis yang terlaknat lantaran hasadnya kepada Nabi Adam.  Kerana hasadlah yang menyebabkan berlaku pertumpahan darah yang pertama di dunia dalam peristiwa hitam pembunuhan Qabil terhadap adiknya Habil. 

Kekejaman Israil terhadap umat Islam dan bangsa Arab juga bermula kerana hasad yang terpenuh dalam rongga jiwa mereka.  Penentangan kaum musyrikin terhadap Rasulullah saw juga kerana kebejatan hasad yang ada pada diri mereka.  Bahkan kalau kita perhatikan, segala macam kekacauan seperti pertelingkahan, pertengkaran, pergaduhan,  kegiatan sihir, pembunuhan adalah bermula daripada hasad yang bermukim dalam sanubari manusia.

Hasad boleh difahami pada pengertian ialah, hati rasa derita dan tidak senang dengan nikmat dan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain dan dia berusaha untuk menghilangkan nikmat daripada orang tersebut.

Orang yang terpenuh dengan hasad dalam jiwa mereka selamanya tidak akan berasa nikmat ketenangan dalam hidup.  Hatinya akan sentiasa dipanggang keresahan yang sangat menyeksakan.  Kerana hasad yang ada dia akan menjadi hamba kepada segala mazmumah yang lain.  Kesan daripada hasad tersebut akan lahirlah dendam kesumat, umpat kata, fitnah dan adu bomba serta seribu satu macam kejahatan yang akan memporak-perandakan kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

Apa yang lebih membimbangkan, sifat hasad ini boleh kena kepada sesiapa sahaja.  Ia boleh terjadi kepada orang kaya dan miskin, orang tuan atau muda, lelaki atau perempuan.  Ahli ibadah juga boleh terpalit daripada kebusukan dan keekjian sifat hasad.  Bahkan, orang berilmu juga tidak ada jaminan boleh terlepas daripada dihinggapi virus yang dahsyat ini.

Merujuk kepada ingatan Rasulullah dan juga pesanan para ulama, maka dapat kita perhatikan betapa bahayanya keburukan hasad seperti berikut: “Jauhi sifat hasad kerana hasad itu memakan (pahala) kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat abu Dawud.)

“Melepaskan dua ekor serigala lapar di kandang kambing tidak lebih besar bahayanya dibandingkan dengan seorang Muslim yang rakus terhadap harta dan dengki terhadap agama.  Sesungguhnya dengki itu memamah segala kebaikan persis api menjilat kayu kering.”  (Riwayat at-Termizi.)

“Awaslah kamu daripada sifat hasad, kerana pertama-tama dosa di langit dan di bumi adalah kerana hasad.  Adapun iblis dosanya yang paling besar adalah kerana hasad kepada Adam dan adapun Qabil kerana hasadnya kepada Habil maka berlakulah pembunuhan yang pertama di atas muka bumi...(Hukama).

Penawar hati daripada sifat hasad

Berikut antara panduan yang boleh  kita amalkan bagi memelihara hati daripada mazmumah yang sangat bahaya ini.  Bagi membuang kekejian sifat hasad tersebut, hendaklah kita berusaha secara serius  dan bersungguh-sungguh.
·       Ada ilmu yang menyuluh persoalan hati.
·       Sentiasa ingat mati dan akhirat.
·       Muhasabah dan humum diri.
·       Berguru dengan guru yang Mursyid.
·       Bergaul dengan sahabat yang soleh.
·       Mendekati orang yang susah dan ditimpa musibah.
·       Sentiasa bertafakur tentang nikmat-nikmat Allah
·       Lunakan hati dengan al-Quran dan zikrullah.
·       Istiqamah berdoa kepada Allah.

Marilah kita berusaha membebaskan hati dari penjajahan hasad dan kedengkian.  Marilah kita membina keharmonian dalam hidup menyuburkan mahmudah dan ketakwaan.  Sesungguhnya benarlah pesanan ini; “Tinggallah sifat hasad, nescaya tenanglah hati kamu!”
Selamat bermujahadah......


Petikan: anis Ogos ‘11

Wednesday 2 May 2012

SYURGA ATAU NERAKA...


Ibu Bapa Syurga @ Neraka anak?

Hak kewajipan anak-anak kepada kedua-dua ibu bapa amat besar dan dijelaskan secara terperinci oleh Allah swt dalam al_Quran dan Rasulullah saw dalam sunnatnya.  Menghormati, memuliakan dan berkhidmat kepada ibu bapa dalam Islam sebenarnya tanpa mengira waktu dan tempat atau hidup dan mati.  

Sewaktu hidup mereka perlu dihormati, ditaati dan dipatuhi.  Sebaliknya setelah mereka mati, mereka perlu didoakan, dipohon istighfar, ditunaikan segala amanah dan pesanan serta diraikan kaum kerabat dan sahabat handai mereka.

Kemuliaan seseorang kerana ketaatan dan kepatuhan terhadap ibunya merupakan anugerah Allah swt kepada seorang anak.  Jasa dan pengorbanan seorang ibu sememangnya tidak terbalas sehingga Rasulullah saw bersabda, “Syurga itu di bawah telapak kaki pada ibu.” (Riwayat Ibn Majah, No Hadis:2781, dan al-Tabrani, Jil 8, Hal. 372.)

Pengorbanan, ketaatan serta kepatuhan seorang anak sekalipun tidak dapat membalas jasa seorang ibu namum tetap mendapat anugerah dan kemuliaan di sisi Allah swt.  Islam menggariskan bahawa berbuat baik, taat dan patuh kepada ibu bapa adalah antara semulia-mulia amalan.  Rasulullah saw bersabda, “Semulia-mulia amalan ialah solat tepat pada waktunya dan berbuat baik (taat dan patuh) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Riwayah Muslim, dalam kitab al_Iman, No Hadis: 123)

Menderhaki ibu bapa pula  merupakan antara dosa-dosa besar. Rasulullah bersabda, Antara dosa-dosa besar ialah mensyirikkan Allah, menderhakai kedua ibu bapa, membunuh diri dan bersumpah palsu.” (HR Bukahri dan al-Termizi.)

Abu Umamah menceritakan bahawa seorang sahabat menemui Rasulullah saw dan bertanya kepada Baginda, “ Wahai Rasulullah saw, apakah hak kewajipan seorang anak kepada ibu bapanya? Lantas Rasulullah saw menjawab, “Mereka berdua adalah syurgamu dan nerakamu.”

Sabda Rasulullah saw sebagaimana diriwayatkan Abu Dawud daripada Abi Asid, beliau  berkata, “Saya berada di sisi Rasulullah saw, tiba-tiba datang kepada baginda seorang lelaki Ansar, lalu  bertanya, “ Wahai Rasulullah saw, apakah masih ada lagi kebaikan yang perlu saya lakukan selepas kematian kedua-dua orang tuaku?”  Lantas Rasulullah menjawab, “Ya, sentiasalah berdoa untuk mereka, sentiasa beristigfar bagi mereka, tunaikanlah janji/wasiat serta pesanan mereka setelah kematian mereka, memuliakan sahabat handai mereka, hubungkanlah silaturahim yang disebabkan oleh mereka, itulah apa yang perlu engkau lakukan sebagai sebahagian daripada bentuk berbuat baik kepada mereka selepas kematian mereka.” 


p/s: Sebagai peringatan kepada anak-anak yang masih ada ibu bapanya.  Kepada ibu bapa yang telah meninggal, kita sebagai anak masih  boleh berbuat sesuatu untuk mereka.

IMAN...


Peranan IMAN

1.              Tuhan Amirul Mukminin.
Saidina Umar al-Khattab telah mengeluarkan perintah supaya jangan menipu dengan menjual susu yang bercampur air.  Adakah perintah itu dapat menyaksikan rakyat patut kepada arahannya?

Perjalanan sirah mengisahkan tentang seorang ibu dengan puterinya. Suatu hari, si ibu ingin mencampuri susu yang dijualnya dengan air supaya mendapat lebih keuntungan.  Lalu puterinya mengingatkan ibunya tentang larangan Amirul Mukminin itu.

Berkata si ibu, “ah, jika kita campur pun, Amirul Muiminin tidak akan tahu.”  Maka, puterinya lantas membalas dengan jawapan yang mengharukan.  

“Sesungguhnya, benar Amirul Mukminin tidak melihat kita.  Namum, Tuhan Amirul Mukminin sentiasa memerhatikan kita.”

Begitulah hebatnya peranan iman dalam diri anak perempuan penjual susu itu.  Tanpa iman yang jitu kepada Allah, tanpa rasa diri sentiasa diawasi Allah, sudah pasti anak perempuan itu hanya menurut cadangan ibunya.

2.              “Engkau Telah Dimerdekakan.”
Abdullah bin Dinar mengisahkan, pada suatu hari beliau berangkat ke Makkah bersama-sama Saidina Umar bin al-Khattab r.a..Di pertengahan jalan, beliau terserempak dengan seorang pengembala kambing dari atas gunung.  Maka berkara Umar kepadanya untuk mengujinya, “Wahai pengembala! Juallah kepadaku seekor daripada kambing-kambing itu.”  Lalu pengembala itu menjawab, “Sebenarnya aku ini hamba sahaya.”  Kemudian Umar berkata lagi, “Katakanlah kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan serigala.”  Menjawab pengembala itu, “Wahai, di mana Tuhan?”

Sayidina Umar r.a. menangis mendengar jawapan itu.  Kemudian beliau mengikuti pengembala itu dan membelinya daripada tuannya seraya memerdekakannya.  Umar berpesan kepada pengemabala itu, “Engkau telah dimerdekakan oleh ucapanmu di dunia, dan aku berharap agar engkau dimerdekakan juga oleh ucapan itu di akhirat.”


Sumber:  anis jan’11