Seorang penyair Farsi pernah bermadah:

‘ Tidak semestinya dengan memandang (wajah) sahaja cinta terbentuk. Kadangkala khazanah cinta terbentuk dengan perkataan.’

Sebagaimana lahirnya cinta kita kepada Allah swt dan Rasulullah saw.
Kisah cinta Rabiatul Adawiyah kepada Rabbnya, menolak pinangan kerana cintanya hanyalah untuk YANG SATU...dan cintanya Bilal bin Rabbah kepada Rasulullah saw. Wafatnya Baginda, Bilal tidak lagi dapat melaungkan ‘azan kerana terlalu sedih mengingati Baginda. Kisah cinta sejati yang lahirnya dari sekeping daging yang suci, itulah............HATI........yang banyak berkata-kata...

Thursday 31 January 2013

SEDIAKAH DIRI MENJADI SOLEHAH?

Dugaan hidup yang dihadapi sebenarnya menjadi  sebab Allah mahu mendidik kita untuk jadi hamba yang taat dan menyediakan kita untuk menjadi ibu yang solehah terlebih dahulu.

Kata seorang isteri yang telah 6 tahun berkahwin tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. ‘Saya perasan setiap kali saya dan suami membeli-belah dengan anak jiran, perangai suami jauh berbeza. Suami melayan saya dengan baik sekali dan macam-macam topic yang kami bualkan. Tetapi kalau saya dan suami sahaja di rumah, dia jarang melayan saya.  Jika dia sedang menonton tv saya akan merapatinya dan menyandar pada tubuhnya dan dia akan buat tak layan.  Sekejap-kejap dia akan tukar siaran tv.  Sepatah saya tanya, sepatah dia menjawab.  Kemudian akan terlelap di sofa dan biarkan saya tidur di bilik seorang diri.'
 
Bermacam usaha kami lakukan untuk mendapatkan anak  Cuma belum ada rezeki.  Nak ambil anak angkat, suami tak mahu.  Tetapi baru-baru ini saya dapat tahu suami ada hubungan dengan saorang pensyarah.  Paling menyakitkan hati, wanita itu bekas kekasih lamanya.  Isteri orang pulak tu.
 
Saya kemudian berjaya mencari nombor telefon bimbit suami wanita itu dan saya mengadu apa yang telah berlaku.  Apa lagi suami wanita tersebut mengugut hendak belasah suami saya dan memberi amaran supaya suami saya menjauhkan diri.  Suami saya pula selepas peristiwa itu macam orang putus cinta, monyok, lemah, makan pun tak selera!
 
Baru-baru ini suami pula langsung tak balik rumah.  Dua minggu saya menunggu dan cuba menghubunginya dan dia kata bosan nak balik.  Saya tak tahu usahakan apa lagi.
 
Dulu bersama mak ayah memang saya jaga solat dan tutup aurat tetapi hidup dengan suami, saya sudah tidak menjaga semua sebab suami pun tidak solat.  Saya rasa itu antara punca rumah tangga kami jadi begini.  Saya rasa kalau saya bercerai, kehidupan saya akan lebih tenang.  Apakah yang boleh saya lakukan? Saya dah buntu sangat.”
 
Usah jadikan perceraian pilihan pertama. Memilih perceraian sebagai  jalan untuk mencari ketenangan?  Kita berharap dengan perceraian.  Kita akan makin dekat dengan Allah.  Benarkah begitu?
 
Dalam satu hadis daripada Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad saw bersabda: “Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talaq.” (Riwayat Abu daud dan Hakim.)
 
Ambillah perceraian sebagai jalan terakhir selepas semua usaha gagal.  Cari akar permasalahan dalam rumah tangga itu sendiri; suami dan isteri tidak mengamalkan Islam.
 
Bertahan terlebih dahulu dan baiki diri.  Selesaikan masalah satu persatu.  Sekarang bukan isu bercerai tetapi isu membaiki diri.  Usah lihat diri suami ‘buruk’, tetapi baiki dahulu akhlak kita sendiri.  Solat lima waktu, penuhi masa-masa terluang dengan majlis-majlis ilmu, ikuti kelas pengajian al-Quran, tutup aurat dengan sempurna dan sibukkan diri dengan sesuatu yang menenangkan hati.  Bertindak terus dan mohon kekuatan dari Allah.
 
Yakinilah apabila hubungan dengan Allah telah diperkemaskan, masalah yang kelihatan besar akan sendirinya menjadi kecil dan mudah Nampak jalan keluarnya.  Sebenarnya kebanyakan masalah berpunca dari diri kita sendiri dan penawarnya ada pada diri kita juga!
Sabar dengan ujian.
 
Baiki hubungan dengan suami dan tetap berbuat baik kepadanya.  Sekali pun dia tidak pulang ke rumah dan kita masih mampu sabar, maka bersabarlah.  Ini ujian kecil daripada Allah.  Selama bertahun-tahun kita  lalai dengan suruhan Allah, Allah tetap bersabar dengan kita.  Takkanlah dengan sedikit ujian ini pun kita tida dapat bertahan.
Bersangka baik pada suami
 
Rasa sunyi, sengsara, pedih, fikiran negatif dan syak wasangka akan terus membelasah hati kita setiap kali suami tidak berada di sisi kita, apatah lagi dua minggu menghilangkan diri.
 
Selepas ini fikirkan yang baik-baik mengenai suami.  Bersihkan pemikiran kita terkebih dahulu, sebab fikiran kita banyak syak wasangka, kerana itu semakin teruk.  Semangat kita makin lemah dan hati kita makin sakit dengan apa yang kita fikirkan.  Serahkan semua perbuatan suami kepada Allah dan kita tidak berhak untuk menghukum.
Firman Allah: “Pergaulilah isterimu dengan baik, sekiranya kamu benci kepada mereka, boleh jadi apa yang kamu benci itu Tuhan akan menjadikan kebaikan yang banyak kepadanya.” (Surah an-Nisa’: 18).
 
Setelah berusaha dan terus berusaha, mungkin suatu hari nanti suami akan berubah.  Yakinlah masa itu akan kunjung tiba.  Amalkan baca surat ar-Rad:31 dan seru nama suami agar suami tergerak hati untuk pulang ke pangkuan.  Surah Yusuf:4, al-Insyirah, surah ali Imran: 31 & Toha” 1-6 juga elok diamalkan untuk doa pelembut hati dan pengasih.
 
Usah gusar tentang anak.  Allah belum mahu menciptakan zuriat dalam rahim kita lagi.  Itu hak Allah.  Mungkin Allah mahu mendidik kita  untuk menjadi hamba yang taat dan menyediakan kita untuk menjadi ibu yang solehah terlebih dahulu.  Kita boleh mencuba mengamalkan surah al-Ambiya’:89 dan surah al-Furqan:74 selain dari usaha lain.  Insya’Allah yakinlah,  ketetapan Allah pasti akan tiba.  Usahlah minta untuk dipercepatkan atau memperlambatkan kerana Allah Maha Mengetahui yang mana terbaik untuk hamba-Nya.

p/s: artikel ini saya terbaca dari majalah dan ingin saya kongsikan bersama.

Saturday 26 January 2013

AWASI KEPADA MATA YANG BEKU...

Segalanya bermula dari dalam. Lubuk hati sebagai sumber, sama ada hati itu hidup atau telah direntap kematian.  Hati yang hidup dan sejahtera akan sentiasa bertemu kesedaran, keinsafan dan dipenuhi dengan rasa takutkan Allah.  Hati yang tidak dicemari kotoran dosa akan membuak di muara matanya tangisan yang sangat bernilai.  Taubat dan air matanya saling beriringan.  Surah al-Mulk ayat 12: "Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya yang tidak terlihat oleh mereka, mereka memperolehi ampunan dan pahala yang besar." 
Makna: 'Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Allah semasa sendirian dan tidak melihat 'azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.'

Namun, berawaslah pada hati yang telah tersangat kotor dan berkarat.  Jangan dibiar gelapnya terus memendungi sehingga tidak lagi ditembusi sinar keinsafan.  Janganlah hendaknya telah mati hati dari keinsafan taubat yang telah dikuburkan pula bersama keranda kelalaian.

Ingatlah! Kesan dari hati yang keras, maka keringlah segalanya.  Tiada lagi air mata keinsafan, tiada juga rintihan taubat dan sesungguhnya bintang ketakwaan adalah terlalu jauh dari jangakuan.
Menagislah kerana takutkan Allah. Alirkan air mata kerana memikirkan, bagaimanapunkah nasib nanti di hari akhirat.  Tangislah pula diri pada diri yang tidak lagi boleh menangis.

Kalau terlalu membeku mata, maka pohonlah kepada Allah agar ditukarkan dengan hati yang lain, kerana hati yang ada ini tersangat rosak dan terlalu membusuk!

Hati orang-orang yang beriman tidak akan ada tanda noktahnya terhadap cinta mereka kepada Nabi dan juga kepada Allah selagi masih memegang erat kepada Al-Quran dan sunnah-sunnah Rasulullah saw. Amal pula bergantung kepada niat yang terletak 
kepada hati yang ikhlas.        

Sabda Nabi saw; “Ikhlaskan amal itu, cukuplah walaupun sedikit.”    

Hadis yang ringkas ini sebenarnya membawa mesej yang sungguh jelas dan besar; amalan yang diterima Allah s.w.t. sebenarnya bukanlah terletak kepada jumlahnya, tetapi niat atau keikhlasan pelakunya.”


Sebagai peringatan kepada diri ini.....

Saturday 19 January 2013

SOLAT...DAN PESANAN DARI ABU HURAIRAH


SESIAPA  yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya.)  Dan memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.  Dan sesiapa berserah diri kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya.  Sesungguhnya Allah melakukan perkara  yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah menentukan tiap-tiap sesuatu.”  Surah a’ Talaq 2-3. 
Pesanan solat Abu Hurairah...
Abu Hurairah adalah seorang sahabat yang kuat menghafal dan banyak meriwayatkan hadis.  Beliau meninggal dunia pada tahun ke 57 Hijrah.
Beliau telah meriwayatkan, katanya: “Solat adalah mendekatkan diri kepada Allah s..w.t.  Perumpamaan solat adalah bagaikan seorang lelaki yang ingin menghadapi seorang imam, maka dia membawa hadiah untuknya.

“Wahai hamba, jika engkau sedang mendirikan solat, maka sesungguhnya engkau berada pada kedudukan yang sangat agung, engkau sedang menghadap Allah s.w.t. dengan bermunajat dan mengharapkan keredhaan-Nya. Engkau benar-benar sedang berdiri di hadapan Tuhan Yang Maha Pengasih.

“Dia mendengar perkataan, melihat amal perbuatan dan mengetahui semua yang mengganggu hati.  Oleh sebab itu, menghadaplah kepada Allah s.w.t. dengan hati dan jasad, lalu tumpukan pandangan  mata supaya dapat melakukan solat  dengan kusyuk, atau turunkan sedikit pandangan mata, kerana pandangan mata dapat melupakan hati.

“Janganlah memalingkan pandangan, dan jangan pula menggerakkan tangan, kaki dan juga anggota badan yang lain hingga selesai mengerjakan solat.  Bergembiralah orang yang dapat melakukan solat seperti itu, tiada kekuatan dan kemampuan kecuali hanya dari Allah s.w.t.”                                                  

Sunday 13 January 2013

ANTARA HASAD DAN GHIBTAH..


Pada ulama berkata, sekiranya Allah swt dan Nabi saw melarang kita dari sesuatu perkara atau perbuatan, bermakna Allah dan Baginda saw sangat sayangkan kita agar jangan sampai terseksa pada hari kiamat nanti. 
Antara larangan Allah ke atas hamba-hamba-Nya ialah sikap iri hati dan berdengki sesama mereka.  Di dunia lagi kedua-dua sikap ini menjadi pemusnah dan ‘pencukur’ segala amalan-amalan baik manakala di akhirat penyebab seseorang disumbat ke dalam neraka yang menyala-nyala...
Firman Allah: “ dan janganlah kamu beriri hati disebabkan Allah memberikan kurnia (nikmat) kepada sebahagian orang itu lebih banyak dari sebahagian yang lain.” (surah an-Nisa: 32)
At Tamanni dalam makna iri hati pula terbahagi kepada dua bahagian:
    Mengharapkan supaya hilangnya nikmat dan kebahagian orang lain supaya berpindah pula nikmat itu kepada dirinya.  Inilah penyakit jiwa atau iri hati yang dinamakan “Hasad’ yang diharamkan Allah swt ke atas hamba-hamba-Nya.   
    Mengharapkan supaya dirinya mendapat nikmat yang serupa sebagaimana nikmat yang dimiliki orang lain tanpa mengharapkan hilangnya nikmat tersebut dari tangan mereka.  Iri hati ini dinamakan ‘Ghibtah’. Perbuatan  ghibtah tidaklah diharamkan Allah, namun ada tegahan dan ingatan supaya kita jangan mengangan-angankannya.

Kenapa perlu ada sikap berhati-hati dan berwaspada terhadap sikap Ghibtah itu?
Sebab dikhuatiri bahawa sampai suatu ketika itu kelak bertukar menjadi hasad dengki kerana tiada siapa yang tahu bagaimana penyudah dirinya.  Adakah di dalam Saadah (kebahagian) atau As Syaqawah (kecelakaan) ?  Ibarat orang yang pada mulanya hanya bermain-main sahaja di tepi kawasan larangan tiba-tiba tanpa disedari terjerumus ke dalam kawasan larangan tersebut yang akibatnya akan membahayakan dirinya.


 Sumber: anis april ’10.

SOLAT BERMULA DARIPADA WUDHUK...


Daripada Ubadah bin al-Shamit, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda, “Apabila seseorang hamba berwuduk dan dia mengelokkan wuduk tersebut, kemudian dia mendirikan solat dan menyempurnakan rukuknya dan sujudnya secara bacaan padanya, solat berkata: ‘Semoga Allah menjagamu sebagaimana engkau menjagaku,’ kemudian dibawa naik ke langit dan bagi solat itu sinaran dan cahaya dan dibukakan baginya pintu langit.”

Daripada ‘Uthman bin ‘Affan beliau berkata, 'Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: ‘Tiada seorang pun yang berwuduk dan mengelokkan wuduknya, kemudian dia solat melainkan diampunkan baginya apa jua kesilapan di antaranya solat yang lain sehingga dia solat.'

Persiapan untuk mendirikan solat sebaiknya bermula dari awal dan perlu di ‘set’kan dalam minda setiap individu Muslim.  Suasana seperti ini perlu agar ia datang menghadap dan bermunajat kepada Allah swt dalam keadaan persediaan yang secukupnya. Hayati dan fahami setiap bacaan, zikir, doa dan tasbih dalam solat.  

Sempurnakanlah segala rukun dan sunat-sunat dalam solat dengan sempurna.  Sujud, rukuk, qiyam dan seumpamanya dan sebaik-baiknya.  Luangkan sedikit masa dan waktu untuk menuturkan zikir-zikir sesudah solat dan fahami serta hayati maksud zikir-zikir tersebut.

p/s: Artikel ini saya dapat dari majalah ( tak ingat majalah mana), sebagai peringatan kepada kita agar solat kita akan diangkat dan ibadah kita diterima Allah swt... Amiin...amiin.

SOLAT ATAS DASAR CINTA....

Untuk tatapan bersama.....


Petua supaya solat akan terasa ringan.... 

Solat perlu didirikan atas dasar cinta, bukan sekadar memenuhi tanggungjawab, supaya ia memberi kesan pada hati dan peribadi.Apabila solat didirikan atas dasar cinta kepada Allah, ketaatan dalam solat akan dapat dizahirkan di luar solat. 

Bagi melahirkan ketaatan di luar solat, solat perlu didirikan dengan khusyuk dan dibetulkan bacaan dan tatacara pergerakannya dari sehari ke sehari. Perlu berguru selalu, minta guru perbetulkan setiap bacaan dalam solat terutama bacaan Fatihah di samping surah-surah yang lain.  

Ilmu tentang solat perlu dipelajari berterusan.  Tidak cukup hanya sekadar tahu ilmu fekah asas tetapi perlu lebih mendalam. Apabila kita rasa wajib mendalami kefahaman mengenai solat secara keseluruhan, lama-kelamaan ia memberi kesan kepada hati hingga datang rasa cinta yang teramat terhadap solat dan mahu mengajak orang lain bersolat. Jika solat dilakukan kerana cintakan Allah swt, nescaya kita akan bersabar dan tidak akan berasa berat untuk menunaikannya. 

Bagi meraih cinta Allah, kita tidak boleh melakukan yang fardhu sahaja.  Laksanakanlah lebih iaitu dengan memperbanyakkan amalan sunat seperti solat Dhuha, solat  Rawatib, Awwabin dan Tahajjud.  Kita bersolat tanpa ada orang lain melihat dan di sini dapat diukur keikhlasan kita kepada Allah.

 

Source: Anis Jun ’11. Kata-kata dari Tan Sri Syaikh Haji Ismail Muhammad..Imam Besar Masjid Negara.

Tuesday 1 January 2013

ISTI'AZAH.....

Inilah dia ayat yang selalu kita baca sebelum kita membaca al-Quran samada di awal surah atau juga di pertengahan, dengan maksud untuk melindungai kita daripada syaitan yang direjam.

Surah an-Nahl ayat 98:
"Apabila kamu membaca al-Quran hendaklah       kamu meminta perlindungan kepada Allah dari   syaitan yang direjam"   


Selain dari Abu Said al-Khudri r.a. berkata, "Bahawa Rasulullah s.a.w. menyebut A'uuzubillah hi minasy syaitoonir rojim sebelum membaca al-Quran. (HR Abdul Razak dalam al-Musannaf.)

Namum begitu ulama berselisih pendapat sama ada ia dihukumkan yang menyatakan wajib manakala sebahagian yang lain hanya menghukumkan sunat sahaja.

Terdapat 2 bentuk bacaan isti'azah:
  1. Secara sir iaitu dengan suara perlahan.
  2. Dibaca jahar iaitu dengan suara yang kuat.
Dibaca dengan perlahan apabila:
  • Ketika membaca al-Quran.
  • Di dalam solat sama ada bersendirian atau berjemaah.
  •  Membaca al-Quran dalam jemaah tadarus dan bukan pembaca yang pertama memulakan bacaan al-Quran.
 Dibaca dengan kuat apabila:
  • Di tempat pengajian atau bertadarus al-Quran.  Dan pembaca adalah orang pertama yang memulakan bacaan.
Membaca isti'azah ini ada 4 kaedah:
  1. Membaca isti'azah, berhenti, Basmallah, berhenti dan surah.
  2. Membaca isti'azah, berhenti Basmallah sambung dengan surah.
  3. Membaca isti'azah sambung dengan Basmallah, berhenti dan surah.
  4. Membaca isti'azah sambung dengan Basmallah dan sambung dengan surah.
Bagi bacaan surah at-Taubah, terdapat dua cara iaitu membaca Isti'azah, berhenti dan baca surah atau menyambung terus Isti'azah dengan surah.

Bacaan ini juga boleh digunakan bagi menghilang perasaan was-was yang wujud dalam diri sebagaimana firman Allah dalam surah al-A'raf 200: "Dan jika dihasut oleh sesuatu daripada syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah (iaitu dengan membaca A'uuzubillah hi minasy syaiathoonir rojim), sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Terdapat beberapa lafaz bacaan Isti'azah iaitu:
  • A'uuzubillahi Minasy Syaithoonir Rajim.
  • A'uuzubillahil Qoodiri Minasy Syaithoonil Ghoodir.
  • A'uuzubillahil Quwiyyi Minasy Syaithoonil Ghoowiyy.
  • A'uuzubullahil A'zhiimi Minasy Syaothoonir Rajiim.
  • A'uuzubilllahis Samii'il Minasy Syaithoonir Rajiim.
  • A'uuzubillahi Minasy Syaothoonir Rajimi Innallaha Huwas Sami'ul A'liim.

petikan dari: Al Islam april '12.