Seorang penyair Farsi pernah bermadah:

‘ Tidak semestinya dengan memandang (wajah) sahaja cinta terbentuk. Kadangkala khazanah cinta terbentuk dengan perkataan.’

Sebagaimana lahirnya cinta kita kepada Allah swt dan Rasulullah saw.
Kisah cinta Rabiatul Adawiyah kepada Rabbnya, menolak pinangan kerana cintanya hanyalah untuk YANG SATU...dan cintanya Bilal bin Rabbah kepada Rasulullah saw. Wafatnya Baginda, Bilal tidak lagi dapat melaungkan ‘azan kerana terlalu sedih mengingati Baginda. Kisah cinta sejati yang lahirnya dari sekeping daging yang suci, itulah............HATI........yang banyak berkata-kata...

Saturday, 7 January 2012

ASMA'UL HUSNA - AL-GHAFFAR (MAHA PENGAMPUN)

                           

Allah Maha Pengampun, sesiapa pun akan diampuni-Nya asalkan hambanya   mahu  bertaubat.  Oleh  sebab itulah, Allah  memilih  nama yang  indah  ‘ al-Ghaffar ‘ (nama indah Allah swt  ke 14) yang bererti ....Maha  Pengampun.


Surah an-Nisa’ ayat 106: maksudnya:– 

“ Mohonlah ampunan kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. “ 

Semua orang bertanam niat agar mendapat  kemaafan dan keampunan dari Allah swt, berhajat kepada rahmat dan kemurahan-Nya,  Dia menjanjikan ampunan dan kemaafan-Nya bagi orang yang bertaubat dengan melaksanakan syarat-syaratnya. Firman Allah swt dalam surah  Thaha ayat 82, maksudnya:

“ Sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar. “

Allah swt Maha Pengampun dan menyukai ampunan.  Rasulullah saw sendiri, walaupun Baginda maksum (terpelihara daripada keburukan), namum Baginda saw banyak beristighfar.  Rasulullah saw bersabda, maksudnya:

“ Wahai manusia! Bertaubatlah kamu kepada Tuhan kamu.  Sesungguhnya aku beristighfar  kepadaNya dalam sehari 100 kali. (HR Ahmad).

Kisah 1:  Pada zaman dahulu,  seorang pelacur dari kaum Bani Israel sedang berjalan di padang pasir  dengan panas  terik matahari.  Sedang  berjalan, pelacur itu ternampak perigi air. Berdekatan dengan perigi itu terlihat seekor anjing yang kehausan, sambil mengelilingi perigi itu.

Lantas timbul rasa belas kasihan pelacur itu kepada anjing itu.  Lalu dia menanggalkan kasutnya dan mengikatnya  pada hujung kainnya untuk dijadikan bekas dan tali untuk mengambil air di dalam perigi itu.  Kemudian pelacur itu memberI  minuman kepada anjing tersebut dan dia mendapat keampunan dari Allah swt.

Kisah 2: Kisah  Adam  dan  Hawa yang diperintahkan keluar dari syurga kerana termakan buah yang dilarang oleh Allah swt. Allah memutuskan dengan firmanNya, 

“ Demi kemuliaanKu, engkau berdua harus meninggalkan syurga ini, turun ke Bumi.  Dengan linangan air mata, sedih dan takut, Adam bersimpul menundukkan kepala di hadapan Allah swt memohon ampun.  “Tuhanku, Tuhanku, ampunilah aku, ampunilah aku! Kami telah menganiaya diri kami sendiri.  Kalau Engkau tidak sudi kiranya mengampuni dan mengasihani kami, sungguh kami akan rugi  dan sengsara berpanjangan. “ 

Adam dan Hawa pun sampai di permukaan bumi yang fana untuk memulakan hidup baru. Air mata semakin banyak bercucuran dari  mata Adam dan Hawa.  Kedua-duanya menangis tersedu-sedu, sambil merasa kesal yang tidak terkira hebatnya atas kesalahan, lantaran godaan iblis.

Berulang kali telah disebutkan di dalam al-Quran berkenaan keampunan kesalahan Adam yang kecil itu. Bahkan bukan hanya diampun dan diberi taubat sahaja Allah swt, melainkan kerana kesedarannya dan penyesalannya itu, Adam menjadi manusia terpilih, diberi petunjuk dan diangkat Allah menjadi Nabi,  Diterima wahyu pertama yang menyatakan bahawa  Allah swt sudah berkenan untuk mengampunkan kesalahan dan menerima taubat Adam dan Hawa.  Sungguh...Allah swt suka memberi ampunan dan taubat bagi sesiapa saja di antara hambaNya yang merasa dirinya bersalah dan suka meminta ampun dan taubat. 

Surah Al Tahrim, ayat 8, yang bermaksud:  “ Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah swt dengan taubat semurni-murninya, mudah-mudah Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

Kesalahan dan dosa kita  kepada Allah swt, mohonlah keampunan dan bertaubat kepadaNya.  Insya’Allah, dengan nama Allah yang Maha Pengampun, akan  beroleh keampunan.  Akan tetapi dosa kita kepada orang, sesama manusia, hanya terhapus apabila kita memohon  maaf kepada orang itu sendiri.  Sekiranya  orang itu masih hidup, bolehlah diusahakan untuk memohon keampunan.  Sekiranya orang itu sudah tidak ada lagi di dunia ini, ianya pasti akan merumitkan keadaan....apa yang kita buat ialah mengingati salah satu pesanan Rasulullah swt kepada 'aishah ra supaya kita memaafkan semua orang sebelum kita melelapkan mata pada tiap-tiap malam. Sambil kita memanjatkan keampunan untuk diri sendiri, mak dan bapak kita, maka ampunkan juga sesiapa saja yang pernah membuat salah kepada kita.  Semoga orang lain juga akan buat sedemikian juga.

               


No comments:

Post a Comment