CINTA KEPADA ALLAH.......
Kisah sejarah wali Allah yang berpegang teguh akan cintanya kepada Rabbnya..
Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan .sentiasa membelek-beleknya setiap hari. Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam solatnya:
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatu pun yang dapat memalingkan aku daripadaMu.”
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah swt seperti yang pernah diluahkannya:
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah swt semata-mata.
"Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu, maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu, maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu, maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu."
Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya.Amiin.
Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”
Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”
Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.
DAN.....CINTA KEPADA RASULULLAH
Ibu kaum beriman Aisyah ra menceritakan, seorang sahabat Nabi datang kepada beliau lalu berkata:
"Ya Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada diriku, engkau lebih aku cintai dari kaum kelurgaku, engkau lebih aku cintai daripada anak kandungku. tetapi sedang aku duduk termenung seorang diri dalam rumahku, teringat aku akan engkau. Aku tidak tahan, lalu aku segera datang melihat wajah engkau. Tetapi bila ingat lagi suatu saat yang mesti datang, yaitu jika aku ingat aku akan mati dan engkau akan mati. Aku tahu bahwa jika masuk ke surga engkau akan didudukkan di tempat yang tinggi bersama Nabi-nabi. Tetapi aku, jika Tuhan memasukkan aku pula ke dalam sorga aku takut di waktu itu aku tidak akan melihat engkau lagi. Karena tempatku tentu jauh dibawah tempatmu...."
Menurut Riwayat Muslim dari Abu Hurairah ra, Nabi bersabda,
“ Setengah dari umatku yang sangat cinta kepadaku adalah orang-orang yang datang kemudian sepeninggalku. Mereka ingin sekali hendak melihat aku, dengan keluarga dan hartabenda.”
Dengan hadis ini jelas cinta kepada Nabi itu tidak akan terputus di hati orang-orang beriman hingga akhir zaman. Cinta kepada Allah dalam rangka iman kepada Allah masih akan bernyala selama Al-Quran masih ada. Pembuktian itu adalah dengan berjihad menegakkan agamanya, berjuang mengukuhkan hukumnya, melakukan dakwah, walau orang-orang musyrik tidak menyukainya.
(petikan: Halaqah.net & soni68.tripod.com -Renungan Tasauf, HAMKA)
No comments:
Post a Comment