Seorang penyair Farsi pernah bermadah:

‘ Tidak semestinya dengan memandang (wajah) sahaja cinta terbentuk. Kadangkala khazanah cinta terbentuk dengan perkataan.’

Sebagaimana lahirnya cinta kita kepada Allah swt dan Rasulullah saw.
Kisah cinta Rabiatul Adawiyah kepada Rabbnya, menolak pinangan kerana cintanya hanyalah untuk YANG SATU...dan cintanya Bilal bin Rabbah kepada Rasulullah saw. Wafatnya Baginda, Bilal tidak lagi dapat melaungkan ‘azan kerana terlalu sedih mengingati Baginda. Kisah cinta sejati yang lahirnya dari sekeping daging yang suci, itulah............HATI........yang banyak berkata-kata...

Friday 22 February 2013

TEMANI IBU KETIKA SAKIT....

       Rebutlah gedung pahala menjaga ibu ketika sakit.
 
Menjaga ibu bapa yang sakit adalah peluang besar yang Allah swt kurniakan kepada si anak; seolah-olah Allah swt membuka gedung pahala dan menutup pintu keburukan dari kita.
 
Panduan bagi seorang anak yang ingin menjaga ibunya yang sedang sakit:
 
•    Adanya anak-anak di sisi ibu yang sakit amat penting. Anak-anak boleh bergilir-gilir jika ingin menyempurnakan tugas yang lain.  Apabila menjaga ibu, pastikan tangan kita sentiasa menyentuh dan membelainya, mengurut lembut tubuh badannya dan mendakap ibu.  Paling penting, jangan membiarkan ibu sendirian.

•    Prihatinlah dengan soal rawatan ibu, jadual untuk memakan ubat dan apa jua yang berkaitan dengan kesihatannya.
 
•    Wujudkan suasana yang kondusif pada ibu yang sakit, dari segi kebersihan diri, tempat tidur, pakaian dan lain-lain lagi.

•    Beri semangat dan keceriaan kepadanya melalui kata-kata dan tingkah laku yang terpuji selaku anak.

•    Pastikan ibadah fardhu seperti solat dapat dilaksanakan oleh ibu yang sakit pada kadar yang termampu.  Ambilkan wudhuknya dan bantu ibu untuk menunaikan solat.

•    Suntik ketenangan pada jiwa ibu dengan memperdengarkan alunan al-Quran di telinganya, sama ada ayat-ayat tersebut di baca oleh anak-anak atau dengan menggunakan kaset al-Quran.

•    Prihatin dengan keperluan itu.  Sebaiknya, keperluan ibu dipenuhi sebelum diminta seperti makan minum, persiapan diri dan sebagainya.
 



Sumber: anis mei’11

 
p/s:  Kepada sesiapa yang masih ada ibu, terutama yang sedang meniti usia tua, jagalah ibu sebaik mungkin. Jaga tutur kata dan perbuatan agar ibu tidak rasa kecewa dan sensitive. Kelak jangan sampai timbul rasa kesal apabila ibu meninggalkan kita nanti.

Friday 8 February 2013

KEKUATAN IMAN DAN AMAL BENTENG HADAPI GODAAN SYAITAN...

KITA sering terbaca berita yang dipaparkan mengenai peperangan dan pertelingkahan yang berlaku di segenap pelosok dunia. Namun, semua pertelingkahan ini tidak sehebat apa yang berlaku terhadap peperangan melawan godaan syaitan.

Ia terpaksa dihadapi lebih daripada tujuh bilion umat manusia dalam melawan musuhnya yang satu dalam pelbagai watak. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah ia musuh yang sebenar kerana dia mengajak golongannya supaya menjadi ahli neraka.” (Surah Fatir ayat 4).

Nabi Adam selaku makhluk yang istimewa ciptaan Allah adalah orang yang pertama menghadapi godaan ini. Keistimewaan inilah yang mengundang dendam daripada syaitan atau iblis yang juga sebelum ini penghulu kepada malaikat.

Penderhakaan yang dilakukan iblis terhadap Allah SWT menyebabkan ia dilaknat dan diusir dari syurga. Di sinilah bermulanya permusuhan iblis terhadap umat manusia yang membawa kepada sumpahan untuk menyesatkan umat manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Syaitan memujuk mereka dengan tipu daya. Maka jelaslah pengaruh syaitan itu dan Allah mengingatkan mereka mengenai larangan itu dan permusuhan bagi mereka berdua. (Adam dan Hawa). (al-A’raf ayat 22).

Firman Allah SWT: “Iblis berkata: “Tuhanku, oleh kerana Engkau memutuskan bahawa aku tersesat, maka aku akan memastikan bahawa kesesatan ini akan menjadi perhiasan umat manusia seluruh seluruhnya.” (surah Hijr ayat 39.)

Oleh yang demikian, sifat dendam ini perlu dikikis daripada minda dan hati manusia kerana ia adalah hasutan syaitan seterusnya merugikan umat dan akan memusnahkan harta benda, malah nyawa yang tidak berdosa.

Syaitan juga berupaya menyuntik perasaan dendam, iri hati, angkuh, bongkak, tamak haloba, pentingkan diri sendiri dan semua sifat mazmumah (keji) yang lain bagi merealisasikan tugasnya menyesatkan umat manusia.


Benteng yang kukuh perlu dibina dan dibentuk bagi menghalang pengaruh dan godaan syaitan kerana semangat tipu daya yang dimilikinya tidak pernah luntur sehingga hari kiamat.

Kita mestilah menjadikan syaitan sebagai musuh yang sebenar dan perlu diperangi. Permusuhan ini perlu diterjemahkan dengan meninggalkan perkara yang keji dan mungkar. Ilmu dan amalan perlu dipersiapkan di samping sentiasa berwaspada terhadap kelemahan diri kita sendiri.


Manusia mukmin juga perlu sentiasa beristiqamah dengan jalan yang lurus dan diredai juga benteng menghindarkan tipu daya syaitan. Hati kita hendaklah tetap dengan jalan itu walaupun akan datang suara wakil dari syaitan yang sentiasa memujuk agar kita terpesong daripada jalan yang lurus.


Firman Allah SWT: “Inilah jalan Tuhanmu yang lurus dan janganlah kamu menuruti jalan lain yang akan menyesatkan kamu.” (Surah al-Ana’m ayat 153). Firman-Nya: “Syaitan itu hanya akan mengajak golongannya menuju neraka yang menyala.” (Surah al-Fatir ayat 6).

Di samping itu juga, doa yang bersifat konsisten serta tahap tawakal yang tinggi kepada Allah SWT juga boleh membantu menghindarkan gangguan. Jadikan Allah SWT sebagai tempat untuk kita menyerahkan segala urusan berbekalkan usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Firman Allah SWT bermaksud: “Mengapa kami tidak bertawakal kepada Allah sedangkan Dia menunjukkan jalan kepada kami. Kami tetap bersabar terhadap ujian dan hanya pada-Nya kami bertawakkal”. (Surah Ibrahim ayat 12).

Kita hendaklah sentiasa mengingati Allah SWT yang menjadikan kita sebagai khalifah berpandukan kitab yang diturunkan sebagai panduan dan pedoman. Firman Allah SWT: “Sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah, maka kami akan membiarkan syaitan untuk menyesatkannya. Mereka akan terhalang dari jalan yang lurus dan menyangka mereka adalah orang yang benar.” (Surah Zukhruf ayat 36 dan 37).

Inilah satu penyakit yang melanda umat kini yang mana semua pihak menyatakan bahawa mereka berada pada landasan yang benar. Maka neraca yang sebenar ialah merujuk kepada Allah dan Rasulnya.

Kita juga mestilah menjauhi orang lalai dan leka diulit keindahan serta kesibukan dunia sehingga lupa urusan kewajipan yang akan menyelamatkan mereka pada hari kemudian. Berdamping dan menurut seseorang individu atau kumpulan juga dapat mempengaruhi daripada terjebak dalam godaan syaitan yang mana kita sentiasa melihat contoh dilakukan dan terkesan daripada segala tidak tanduk mereka.

Firman Allah SWT:“Ketika orang yang kita ikut dulu berlepas diri ketika melihat azab Allah, barulah disedari bahawa hubungan terputus dan semuanya akan dipersoalkan. Pengikut berkata : “Kalaulah kami dapat kembali ke dunia, nescaya kami akan jauhi mereka seperti apa yang mereka lakukan pada hari ini.” (Surah al-Baqarah ayat 155 dan 166).

Kesimpulannya, syaitan adalah musuh kita yang sebenar yang perlu diperangi kerana ia mempunyai sekutu dalam kalangan manusia dan jin yang berperanan untuk menyesatkan manusia. Kekuatan benteng yang dibina untuk melindungi godaan syaitan dapat dinilai menerusi sudut komitmen kita terhadap hukum Allah SWT. Kadar kekuatan kita dapat diukur melalui kekuatan hubungan kita dengan Allah SWT.




sumber: Berita Harian 17/3/12 artikel oleh Ustaz Zaman.

Saturday 2 February 2013

KISAH JIBRIL AMAT MENCUBURUI UMAT NABI MUHAMMAD S.A.W.



Jibril pernah berkata kepada Rasulullah saw bagaimana ia sangat mencemburui umat-umat Baginda saw di atas keistimewaan yang telah diberikan oleh Allah swt  kepada mereka di atas sebab-sebab berikut:
1.    Umat-umat Baginda saw dapat solat berjemaah serta diberi ganjaran pahala gandaan 25 darjat. Ganjaran ini tidak diberikan kepada malaikat.

2.    Umat-umat Baginda saw, apabila menghadiri majlis-majlis ilmu, diberi  rahmat oleh Allah swt. Ini tidak dapat dinikmati oleh malaikat.

3.    Umat-umat Baginda saw dapat menziarahi orang-orang sakit.  Ganjarannya amat besar sekali dianugerah Allah swt

4.    Umat-umat Baginda saw berpeluang menziarahi orang-orang fakir miskin dan juga anak-anak yatim piatu. Dengan pengusap kepala anak-anak yatim piatu sahaja, begitu besar pahala yang dikurniakan Allah swt. Para malaikat tidak mendapat ganjaran sedemikian.

5.    Apabila umat-umat Baginda saw apabila menziarahi kematian dan mengiringi jenazah hingga dikebumikan, Allah swt memberikan pahala yang begitu besar seolah-olah bersedekah  emas sebesar gunung Uhud.  Malaikat tidak mendapat ganjaran sedemikian.

6.    Apabila umat-umat Baginda saw, apabila  menyatupadukan orang-orang yang bermusuhan, Allah swt memberikan pahala. Para-para malaikat tidak berpeluang mendapat pahala sedemikian.

7.    Apabila umat-umat Baginda saw menjalinkan perhubungan yang baik dengan jiran-jirannya, Allah swt kurniakan pahala. Ini juga tidak dapat dinikmati oleh Jibril.

Maka di atas alasan-alasan di atas, Jibril sungguh-sungguh mencemburui umat-umat Nabi Muhammad saw dengan begitu banyak pahala-pahala yang dianugerahkan oleh Allah swt.  Kalaulah umat-umat Baginda  saw mengetahui akan fadhilat-fadhilat yang dikurniakan Allah swt,  maka sudah tentu mereka akan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.



(Ustaz Husin – (8/7/12)
 HELWA Al-Munir Jalan Simbang, Taman Perling, Johor Bahru.