Seorang penyair Farsi pernah bermadah:

‘ Tidak semestinya dengan memandang (wajah) sahaja cinta terbentuk. Kadangkala khazanah cinta terbentuk dengan perkataan.’

Sebagaimana lahirnya cinta kita kepada Allah swt dan Rasulullah saw.
Kisah cinta Rabiatul Adawiyah kepada Rabbnya, menolak pinangan kerana cintanya hanyalah untuk YANG SATU...dan cintanya Bilal bin Rabbah kepada Rasulullah saw. Wafatnya Baginda, Bilal tidak lagi dapat melaungkan ‘azan kerana terlalu sedih mengingati Baginda. Kisah cinta sejati yang lahirnya dari sekeping daging yang suci, itulah............HATI........yang banyak berkata-kata...

Wednesday, 3 April 2013

SAYANG ISTERI..........KASIHKAN IBU


Sempena Sambutan Hari Ibu di sebuah hotel,  seorang pakar motivasi dijemput memberi ceramah.  Beliau bertanya kepada beberapa lelaki yang duduk di meja paling depan, “ Siapakah wanita yang paling anda sayangi?’  masing-mesing menunjukan ke arah isteri masing-masing yang duduk di sebelah.  “Mak masih ada?” Tanya pakar motivasi itu.  Mereka mengangguk.
“Setiap anak lelaki, setiap anak perempuan yang belum berkahwin, selagi ibu masih hidup, ibulah wanita pertama yang bertahta di hati kita, ibulah insan yang mesti dicinta, dikasihi sehebat-hebatnya. Perbetulkan balik niat kasih anda supaya hidup anda  dalam keberkatan Allah sebab ini perintah dari Allah. Di dalam al-Quran. Rasulullah saw juga telah mengingati kita tiga kali berturut-turut kewajipan mentaati ibu, kemudian barulah bapa.”
Begitulah hidup manusia, apabila telah datang insan lain yang kita rasa sudah mampu menyenangkan hati dan ‘kocek’ kita, kita rasa keutamaan segala-galanya harus diberikan kepadanya sehingga terlepas pandang atau boleh berala kadar dalam memberi kasih  kepada ibu.  Lebih malang lagi, ramai anak lebih mengharapkan ibu faham situasi mereka apabila telah berumah tangga, yang perlu lebih mengasihi isteri.
Sememangnya sifat seorang ibu selalu berkorban segala-galanya untuk anak-anak, malah telah bersedia menerima seadanya layanan anak apabila mereka telah berumah tangga. Apa yang selalu ibu katakan kepada si anak, “ Mak tak nak minta apa-apa.  Mak harap kamu jaga isteri kamu baik-baik, jaga keluarga kamu baik-baik.  Mak doakan keluarga kamu menjadi orang soleh, boleh doakan mak apabila mak dah tak ada nanti.”
Murninya bicara seorang ibu.  Harga kesolehan keluarga yang bakal dibina oleh anak dan menantu menjadi taruhannya untuk dia sejahtera ke alam barzakh.
Namun anak mesti faham, cinta yang utama tetap kepada Allah, Rasul dan ibu.  Kasih dan bakti kepada ibu perlu diletakkan di tempat paling atas. Kepada para suami, menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik dan mengajak isteri untuk meraikan ibu mentua (ibu kepada suami) dan menjaga hatinya.  

Sesungguh menjadi kewajipan suami menggalakkan isteri memuliakan ibunya mengikut cara yang telah Allah anjurkan seperti bercakap dengan sopan dan menunjukkan akhlak yang baik ketika bersama ibu.  Peranan suami yang membimbing isteri menjadi isteri solehah sangat membantu ibu makin kasih kepada anak lelaki dan keluarga.
Kepada para isteri, jangan bangga kalau suami sanggup berhabis-habisan memberi perbagai kemewahan kepada kita, bimbang kalau-kalau kerana terlalu memenuhi perbagai hajat kita itu, suami kita tiada masa menjenguk atau bertanya khabar tentang ibu.  Hal ini boleh meletakkan diri suami dalam kederhakaan yang tidak disedari, kerana suami terpaksa berkira-kira dalam memberi khidmat dan mencurah kasih sayang kepada si ibu.  Jangan sampai  anak terputus hubungan rohani (hati) dengan si ibu.  Ingatlah Allah boleh beri nikmat kesenangan sebanyak-banyaknya kepada kita atas apa yang kita usahakan, tetapi tidak ada nilai berkat andai kita lupa kepada ibu yang telah banyak berjasa kepada kita.
Oleh itu carilah redha ibu selalu, ambillah iktibar kisah Al-Qamah pada zaman Rasulullah saw yang terleka melayan karenah isteri sehingga terlepas pandang meraikan ibunya.  Akhirnya si ibu berkecil hati, menyebabkan al-Qamah susah mengucap kalimah syahadah semasa hendak meninggal dunia. Nabi saw perintahkan dibuat unggun api untuk membakar mayat al-Qamah kerana mengecilkan hati ibunya.  

Begitu tegasnya Nabi saw dalam soal kederhakaan seorang anak kepada ibu kerana syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu.  Hierarki ketaatan seorang anak ialah kepada Allah swt, Rasulullah saw dan ibu.
Kepada para-para isteri, mari kita jadikan diri kita sebagai isteri yang mempermudahkan urusan suami dalam berbakti kepada ibu.  Mudah-mudahan kita menjadi isteri dan menantu solehah.  Yakinlah bahawa apabila kita mempermudahkan suami menggembirakan ibunya, itu petanda Allah meredhai kita dan insya’Allah akan dipermudahkan pula anak-anak mentaati kita yang juga bergelar ibu.

Sumber: Anis mei ’11.

No comments:

Post a Comment