( posted by Asha Mustaffa Bajandoh on
Tuesday, April 19, 2011 at 11:36pm. )
“Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi,”
Aliyah
yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah
pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog
tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh
bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru
iklan Sunsilk?
Dia menghela nafas
panjang.
Dia memandang sekali
imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap
dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang.
Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah,
Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur.
Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini,
anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya
yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada
suaminya.
Asraf Mukmin hanya
diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga
hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia,
Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang
menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar
membuatkan dia lemah.
“Kau
mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga,” sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi
hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.
“Abang
Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah
Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis,” masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
Akhir-akhir ini,
panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh,
cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan
bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak. Aduhai, penangan Qis gadis
kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.
“Abang ,
Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita
tu,”
Lembut dan tenang sayup-sayup suara
isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu
sempurna, baik tetapi ahh! hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih
muda.
“Bawa dia
ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?” pelik benar permintaan isterinya.
Hendak
dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda
setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang
bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur.
Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah
jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang
ni, isteri-isteri lebih bijak.
Teringat dia kisah
seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan
untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai
hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya
senyuman daripada Aliyah.
“Apa, nak
suruh Qis jumpa dengan isteri Abang,” terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau.
“Kak
Aliyah yang minta,” masih lembut
dia memujuk Qis.
“Biar
betul, apa dia nak buat dengan Qis? Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh
Qis!” terkejut Asraf Mukmin.
“Percayalah
Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang
faham.”
Qistina mengalih
pandangannya.
Mahu apakah bakal
madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri
pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak
membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti
seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina,
namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui
ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina
untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di
Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia
tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.
Dulu, sebelum dia
mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta
anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah
agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun,
lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya.
Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan.
Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu.
Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan
berzanji. Menitis air matanya.
Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah
terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada
kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal
calon madu Aliyah.
Tit tit… sms
menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya.
“Qis
minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak
sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang.”
Dibawah hensetnya,
ada sekeping sampul besar.
Kepada: Asraf Mukmin,
Suami yang tersayang…
Asraf Mukmin diburu
kehairanan. Sampul berwarna coklat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka
perlahan.
" Dengan Nama Allah
Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Salam sejahtera buat
suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang
yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina.
Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu
cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.
1. Dengan ukuran
badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak
bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah
sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung
dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di
akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan
Abang…
2. Aliyah ada
mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi,
Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung.
Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi,
Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran
western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak
kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula
anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang…
3. Aliyah ada
mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi
Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya
Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan
imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai
telekung…hmmm.. Aliyah sayangkan Abang…
Abang yang disayangi,
cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak
terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin
dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya
lebih dari Aliyah mengenalinya.
Abang yang dicintai,
di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah
tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abang
di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan
pergilah kepada Qistina. Oh ya, sebelum terlupa, Qistina telah berada di
Sawarak. Menunggu Abang…
Aliyah sayangkan Abang…
Tetapi jika Abang merasakan
Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari
wanita yang setanding dengan Aliyah… Aliyah sayangkan Abang…
Tetapi, jika Abang
merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abang.. tolonglah bukakan
pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai…air tangan
Aliyah. "
Salam sayang,
Aliyah Najihah binti
Mohd Hazery;
Tangannya pantas
membuka pintu biliknya. Di situ berdiri Aliyah Najihah bersama-sama hidangan
sarapan pagi kegemarannya. Dia tersenyum!
Benar, tiada isteri
sehebat Aliyah isterinya!
No comments:
Post a Comment