Seorang penyair Farsi pernah bermadah:

‘ Tidak semestinya dengan memandang (wajah) sahaja cinta terbentuk. Kadangkala khazanah cinta terbentuk dengan perkataan.’

Sebagaimana lahirnya cinta kita kepada Allah swt dan Rasulullah saw.
Kisah cinta Rabiatul Adawiyah kepada Rabbnya, menolak pinangan kerana cintanya hanyalah untuk YANG SATU...dan cintanya Bilal bin Rabbah kepada Rasulullah saw. Wafatnya Baginda, Bilal tidak lagi dapat melaungkan ‘azan kerana terlalu sedih mengingati Baginda. Kisah cinta sejati yang lahirnya dari sekeping daging yang suci, itulah............HATI........yang banyak berkata-kata...

Wednesday 21 December 2011

Keistimewaan Surah ali-Imran...tafsir al Quran dan Ashabun Nuzul.

Membaca koleksi-koleksi lama dan aku terjumpa artikel ini dari utusan malaysia pada 21/8/08 yang aku rasa elok dikongsikan bersama kawan-kawan diluar sana. Cerita agak panjang, mengenai surah ali-Imran  dan juga perbezaannya dengan surah al Baqarah. Sukar untuk aku ringkaskannya, takut-takut lari maknanya. So please spare your time reading this, because i feel that it is of great knowledge. Semoga kita  sama-sama mendapat manfaat darinya.

 Nama surah ini ali-Imran  iaitu keluarga Imran kerana terdapat  kisah mereka di dalam ayat 33 hingga beberapa ayat selepasnya.  Surah ini mengandungi 200 ayat.

Kebanyakan ulama dan ahli tafsir menganggap ia termasuk dalam surah Madaniah, iaitu diturunkan di kota Madinah selepas hijrah seperti riwayat Ibnu Abbas.

 Al-Qurtubi berkata: " Surah ini merupakan surah Madaniah secara ijmak..."

Al-Hafiz Ibn Kathir dalam tafsirnya mengatakan:
" Surah ali-Imran ini mempunyai kelebihan yang disekalikan dengan surat al Baqarah seperti sabdanya:
"Hendaklah kamu pelajari surah al Baqarah dan ali-Imran kerana kedua-duanya ibarat zahrawani yang memayungi pembacanya pada hari Kiamat atau kedua-duanya seolah awan yang memayunginya."

Sebahagian ulamak mentafsirkan maksud al-Zahrawani dengan dua cahaya.
Mengikut riwayat Muslim dalam sahihnya, surah ini dan surah al Baqarah digelar sebagai al-zahrawani iaitu dua bunga (lambang keelokan dan kecantikan).

Surah ini mempunyai beberapa nama: al-Aman (keamanan), al-Kanz (simpanan dan khazanah), al-Muinah (yang menolong), al-Mujadilah ( yang berdebat) dan surah al-Istighfar.

Riwayat al-Tabrani dan al-Haithami dengan sanad yang daif, Rasulullah saw bersabda:
" Siapa yang membaca surah ini pada hari Jumaat, nescaya Allah dan malaikatNya berselawat ke atasnya hingga tenggelamnya matahari."
Ibnu Abi Shaibah meriwayatkan daripada Abd Malik bin Umai katanya: "Seorang lelaki telah membaca surah al Baqarah dan ali-Imran.  Kemudian Kaab berkata: "Lelaki ini telah membaca dua surah, sesungguhnya pada kedua-dua surah tersebut terdapat nama Allah, apabila dia berdoa, nescaya diterima Allaw swt."

Kaitan dan hubungan dengan surah al Baqarah...
Al-Alusi dengan Ruh al-Maani berkata: Wajah munasabahnya menyebut bahawa banyak permasalahan mujmal disyaratkan di dalam surah ini.

Surah al Baqarah sebagai mendirikan hujah dan surah ini sebagai menghilangkan segala syubhat, dengan sebab itu diulangi padanya dengan matlamat menyatakan kebenaran dan kesahihan kitab daripada Allah swt yang berfungsi sebagai petunjuk ke jalan yang sebenar.

Tafsiran Sheikh al-Maraghi mengenai hubungan surah ini dengan surah sebelumnya adalah seperti berikut:

-Kedua-dua surah ini dimulakan dengan menyebut al Kitab dan keadaan manusia yang dipimpin oleh al Quran. Pada surah yang pertama disebut tentang orang yang beriman dan yang tidak beriman kepada al Quran dan golongan orang-orang yang ragu-ragu.  Sedangkan pada surah yang kedua disebut segolongan orang-orang yang menyeleweng, iaitu orang yang mengikut ayat-ayat mutasyabihat, ayat yang menimbulkan salah faham.

Mereka berbuat demikian bertujuan untuk menimbulkan fitnah.  Sementara itu, sebahagian lagi orang yang ilmunya sangat mendalam.  Merekalah orang yang beriman kepada ayat-ayat yang muhkamat dan mutasyabihat.

Seterusnya, mereka menyatakan kedua-dua surah ini datang daripada Allah swt.

-Pada surah yang pertama, disebutkan penciptaan Nabi Adam as. Pada surah kedua, disebut penciptaan Nabi Isa as.

Persamaan di antara surat kedua dengan yang pertama adalah kedua-dua kejadian tersebut berlaku di luar ketentuan Allah swt yang sering berlaku.

Kedua-dua surah ini mengandungi bantahan terhadap ahli kitab. Akan tetapi pada surah pertama, huraian dinyatakan dengan panjang lebar mengenai kaum Yahudi, tetapi huraian secara ringkasnya tentang kaum Nasrani.  Walau bagiamanapun pada surah yang kedua adalah sebaliknya.

Hal ini disebabkan kaun Nasrani datang selepas kaum Yahudi.  Oleh itu, pembicaraan tentang mereka menyusul selepas pembicaraan pertama.

Pada akhir kedua-dua surah mengandungi doa-doa.  Pada surah pertama, doa memohon kemenangan ke atas orang yang mengingkari dakwah dan yang memerangi pendukungnya, serta permohonan dihilangkan dari beban yang di luar kemampuan.  Hal seperti ini selaras dengan proses permulaan Islam.

Pada surah kedua pula, doanya mengajak manusia menerima seruan agama dan memohon ganjaran di akhirat kerana kesediaan menerima agama Islam.

Surah yang kedua diakhiri dengan masalah yang sejajar dengan permulaan surah yang pertama.  Ia dianggap sebagai pelengkap.  Surah yang pertama dimulai dengan penegasan bahawa kebahagiaan hanyalah untuk orang-orang yang bertaqwa dan surah ini di akhiri dengan  firman Allah swt:
           " Dan bertaqwalah kamu kepada Allah swt supaya kamu berbahagia."

Sheikh Muhammad Abu Zahrah dalam kitab tafsirnya Zahratu al-Tafasir berkata, kandungan surah ini adalah seperti berikut:

Penjelasan  dengan al Quran dan pembahagiannya sama ayat muhkam atau mutasyabih.

Dinyatakan kisah keluarga Imran, kelahiran Mariam, kisah Nabi Yahya dan Isa yang menunjukkan kekuasaan Allah swt dan kesempurnaan iradatNya terhadap makhlukNya.

Penjelasan berkenaan mukjizat Nabi Allah Isa atas beberapa kurniaan seperti mengubati yang buta menjadi celek.

Mujadalah Nabi saw dengan Kristian dan Yahudi serta pendedahan akhlak mereka dan juga gambaran sebenar hati mereka.

Penerangan bahawa Islam pada dasarnya merupakan agama setiap Nabi kerana itulah agama Allah swt yang kekal abadi.

Penjelasan berkenaan kefardhuan haji dan kesatuan Islam memperlihatkan juga bentuk dan wasilahnya.  Begitu juga kefardhuan amal makruf dan nahi mungkar.

Penjelasan berkenaan dengan kewajipan pemimpin umat supaya tidak menjadi pemegang amanah setia. Di samping itu, menerangkan peperangan Uhud dan sebab kekalahannya.

Menerangkan berkenaan dengan amalan orang munafik dan sikap mereka ketika menang dan kalah.

Menjelaskan kepada Nabi jika ia didustakan, sebenarnya Nabi-nabi terdahulu telah didustakan seperti ayat 184.

Penerangan bahawa Allah swt pasti menguji orang beriman bertujuan untuk menggilap keimanan mereka.

Penerangan berkenaan dengan akhlak orang yang beriman dan fikiran mereka dan berkaitan penciptaan langit dan bumi.  Begitu juga doa dan tadarruk mereka.

Surah ini Allah swt menutupi dengan mengajak orang yang beriman supaya berjihad terhadap golongan musyrikin dengan bertaqwa dan sabar, di samping membuat persediaan seperti termaktub dalam ayat 200.
Semoga kita menjadi golongan yang mencintai surah ali-Imran dengan membaca, mengkaji, tadabbur, seterusnya mengamalkan supaya kita menjadi golongan yang benar-benar mendapat petunjuk dan hidayah al Quran...Amin.




No comments:

Post a Comment