Seorang penyair Farsi pernah bermadah:

‘ Tidak semestinya dengan memandang (wajah) sahaja cinta terbentuk. Kadangkala khazanah cinta terbentuk dengan perkataan.’

Sebagaimana lahirnya cinta kita kepada Allah swt dan Rasulullah saw.
Kisah cinta Rabiatul Adawiyah kepada Rabbnya, menolak pinangan kerana cintanya hanyalah untuk YANG SATU...dan cintanya Bilal bin Rabbah kepada Rasulullah saw. Wafatnya Baginda, Bilal tidak lagi dapat melaungkan ‘azan kerana terlalu sedih mengingati Baginda. Kisah cinta sejati yang lahirnya dari sekeping daging yang suci, itulah............HATI........yang banyak berkata-kata...

Tuesday 17 January 2012

KISAH RABIATUL ADAWIYAH




Rabiatul Adawiyah merupakan salah seorang srikandi agung dalam Islam. Beliau terkenal dengan sifat wara' dan sentiasa menjadi rujukan golongan cerdik pandai kerana beliau tidak pernah kehabisan hujjah. Ikutilah antara lain kisah-kisah teladan tentang beliau.

KISAH 1:

Suatu malam yang sunyi sepi, di kala masyarakat sedang khusyuk tidur, seorang pencuri telah menceroboh masuk ke dalam pondok Rabiatul Adawiyah. Namun setelah menyelongkar sekeliling berkali-kali, dia tidak menemui sebarang benda berharga kecuali sebuah kendi untuk digunakan berwudhu', itupun telah buruk. Lantas si pencuri tergesa-gesa untuk keluar dari pondok tersebut. Tiba-tiba Rabiatul Adawiyah menegur si pencuri tersebut.

"Hei, jangan keluar sebelum kamu mengambil sesuatu dari rumahku ini."

Si pencuri tersebut terperanjat kerana dia menyangka tiada penghuni di pondok tersebut. Dia juga berasa hairan kerana baru kini dia menemui tuan rumah yang begitu baik hati seperti Rabiatul Adawiyah. Kebiasaannya tuan rumah pasti akan menjerit meminta tolong apabila ada pencuri memasuki rumahnya, namun lain pula yang berlaku.

"Silakan ambil sesuatu." kata Rabiatul Adawiyah lagi kepada pencuri tersebut.

"Tiada apa-apa yang dapat aku ambil dari rumah mu ini." kata si pencuri berterus terang.

"Ambillah itu!" kata Rabiatul Adawiyah sambil menunjuk pada kendi yang buruk tadi.

"Ini hanyalah sebuah kendi buruk yang tidak berharga." Jawab si pencuri.

"Ambil kendi itu dan bawa ke bilik air. Kemudian kamu ambil wudhu' menggunakan kendi itu. Selepas itu solatlah 2 rakaat. Dengan demikian, engkau telah mengambil sesuatu yang sangat berharga daripada pondok burukku ini." Balas Rabiatul Adawiyah.
 
Mendengar kata-kata itu, si pencuri tadi merasa gementar. Hatinya yang selama ini keras, menjadi lembut seperti terpukau dengan kata-kata Rabi’atul Adawiyah itu. Lantas si pencuri mencapai kendi buruk itu dan dibawa ke bilik air, lalu berwudhu' menggunakannya.. Kemudian dia menunaikan solat 2 rakaat. Ternyata dia merasakan suatu kemanisan dan kelezatan dalam jiwanya yang tak pernah dirasa sebelum ini. Rabiatul Adawiyah lantas berdoa:

"Ya Allah, pencuri ini telah menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri. Kemudian aku suruh dia berdiri dihadapan Mu. Oleh itu janganlah Engkau halang dia daripada memperolehi nikmat dan rahmat Mu."


KISAH 2 :

Pada suatu hari, sekumpulan golongan cerdik pandai telah datang ke rumah Rabiatul Adawiyah. Tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguji beliau dengan pelbagai persoalan. Malah mereka telah bersedia dengan satu persoalan yang menarik. Mereka menaruh keyakinan yang tinggi, kerana selama ini Rabiatul Adawiyah tidak pernah ketandusan hujah.

"Wahai Rabiatul Adawiyah, semua bentuk kebajikan yang tinggi-tinggi telah
dianugerahkan oleh Allah swt kepada kaum lelaki, namun tidak kepada kaum wanita." Ketua rombongan itu memulakan bicara.

"Buktinya?" Balas Rabiatul Adawiyah.

"Buktinya ialah, mahkota kenabian dan Rasul telah dianugerahkan kepada kaum lelaki. Malah mahkota kebangsawanan juga dikurniakan kepada kaum lelaki. Paling penting, tidak ada seorang wanita pun yang telah diangkat menjadi Nabi atau Rasul, malah semuanya dari golongan lelaki." Jawab mereka pula dengan yakin.

"Memang betul pendapat tuan-tuan sekalian. Akan tetapi harus diingat bahawa sejahat-jahat pangkat ada pada kaum lelaki juga, siapa yang mengagung-agungkan diri sendiri? Siapa yang begitu berani mendakwa dirinya sebagai Tuhan? Dan siapa pula yang berkata :

"Bukankah aku ini tuhanmu yang mulia?"

Dengan tenang, Rabiatul Adawiyah membalas hujah mereka sambil merujuk kepada Fir'aun dan Namrud. Kemudian Rabiatul Adawiyah menambah lagi, "Anggapan dan ucapan seperti itu tidak pernah keluar dari mulut seorang wanita. Malah semuanya ditimpakan kepada kaum lelaki."


KISAH 3 :

Suatu hari, Rabiatul Adawiyah terlihat seseorang sedang berjalan-jalan dengan kepalanya berbalut sambil menagih simpati daripada orang ramai. Kerana ingin tahu sebabnya orang itu berbuat demikian, Rabi'atul Adawiyah bertanya, "Wahai hamba Allah! Mengapa engkau membalut kepalamu sebegini rupa?"

"Kepalaku sakit." Jawab orang itu dengan ringkas.

"Sudah berapa lama?" Tanya Rabiatul Adawiyah lagi.

"Sudah sekian hari." Jawabnya dengan tenang.

Lantas Rabiatul Adawiyah bertanya lagi,"Berapa usiamu sekarang?"

Orang itu menjawab,"Sudah 30 tahun"

"Bagaimana keadaanmu selama 30 tahun itu?" Tanya beliau lagi.

"Alhamdulillah, sihat-sihat saja." Jawabnya.

"Apakah kamu memasang sebarang tanda di badanmu bahawa kamu sihat selama ini?" Tanya Rabiatul Adawiyah.

"Tidak." Jawab orang itu ragu-ragu.

"Masya’Allah, selama 30 tahun Allah telah menyihatkan tubuh badanmu, tetapi kamu langsung tidak memasang sebarang tanda bagi menunjukkan kamu sehat sebagai tanda bersyukur kepada Allah swt. Jika sebaliknya, pasti manusia akan bertanya kepada kamu sebabnya kamu sangat gembira. Apabila mereka mengetahui nikmat Allah kepadamu, diharapkan mereka akan bersyukur dan memuji Allah." Jelas Rabiatul Adawiyah.

"Akan tetapi, kini apabila kamu mendapat sakit sedikit, kamu balut kepalamu dan kemudian pergi ke sana sini bagi menunjukkan sakitmu dan kekasaran Allah swt terhadapmu kepada orang ramai, Mengapa kamu berbuat hina seperti itu?" Sambung Rabiatul Adawiyah lagi.

Orang yang berbalut kepalanya itu hanya diam seribu bahasa dan tertunduk malu dengan perlakuannya. Kemudian dia beredar meninggalkan Rabiatul Adawiyah dengan perasaan kesal dan insaf.

7 comments:

  1. harap2 orang yang baca akan insaf

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana singgah ke blog saya...semoga kita sama-sama manafaat darinya...

    ReplyDelete
  3. begitu bermakna sekali kisah adawiah. teladannya cukup mendalam. saya baru terbaca kisah ini sangat menyentuh jiwa yang keras ini. terima kasih admin.

    ReplyDelete
  4. Sya nk nmakn ank saya yg baru lahir Nur Rabi'atul Adawiyah,

    ReplyDelete
  5. Sya nk nmakn ank saya yg baru lahir Nur Rabi'atul Adawiyah,

    ReplyDelete