Tinggal Hasad,
Nescaya Tenanglah Hatimu........
Hasad dengki
adalah mazmumah dalam klasifikasi yang sangat berprofile tinggi. Masakan tidak, perhatikan! Azazil asalnya
adalah makhluk Allah yang sangat taat akhirnya bertukar menjadi iblis yang
terlaknat lantaran hasadnya kepada Nabi Adam.
Kerana hasadlah yang menyebabkan berlaku pertumpahan darah yang pertama
di dunia dalam peristiwa hitam pembunuhan Qabil terhadap adiknya Habil.
Kekejaman Israil terhadap umat Islam dan
bangsa Arab juga bermula kerana hasad yang terpenuh dalam rongga jiwa
mereka. Penentangan kaum musyrikin
terhadap Rasulullah saw juga kerana kebejatan hasad yang ada pada diri mereka. Bahkan kalau kita perhatikan, segala macam
kekacauan seperti pertelingkahan, pertengkaran, pergaduhan, kegiatan sihir, pembunuhan adalah bermula
daripada hasad yang bermukim dalam sanubari manusia.
Hasad boleh
difahami pada pengertian ialah, hati rasa derita dan tidak senang dengan nikmat
dan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain dan dia berusaha untuk
menghilangkan nikmat daripada orang tersebut.
Orang yang
terpenuh dengan hasad dalam jiwa mereka selamanya tidak akan berasa nikmat
ketenangan dalam hidup. Hatinya akan
sentiasa dipanggang keresahan yang sangat menyeksakan. Kerana hasad yang ada dia akan menjadi hamba
kepada segala mazmumah yang lain. Kesan
daripada hasad tersebut akan lahirlah dendam kesumat, umpat kata, fitnah dan
adu bomba serta seribu satu macam kejahatan yang akan memporak-perandakan
kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
Apa yang lebih
membimbangkan, sifat hasad ini boleh kena kepada sesiapa sahaja. Ia boleh terjadi kepada orang kaya dan
miskin, orang tuan atau muda, lelaki atau perempuan. Ahli ibadah juga boleh terpalit daripada
kebusukan dan keekjian sifat hasad.
Bahkan, orang berilmu juga tidak ada jaminan boleh terlepas daripada
dihinggapi virus yang dahsyat ini.
Merujuk kepada
ingatan Rasulullah dan juga pesanan para ulama, maka dapat kita perhatikan
betapa bahayanya keburukan hasad seperti berikut: “Jauhi sifat hasad kerana
hasad itu memakan (pahala) kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.”
(Riwayat abu Dawud.)
“Melepaskan dua
ekor serigala lapar di kandang kambing tidak lebih besar bahayanya dibandingkan
dengan seorang Muslim yang rakus terhadap harta dan dengki terhadap agama. Sesungguhnya dengki itu memamah segala
kebaikan persis api menjilat kayu kering.”
(Riwayat at-Termizi.)
“Awaslah kamu
daripada sifat hasad, kerana pertama-tama dosa di langit dan di bumi adalah
kerana hasad. Adapun iblis dosanya yang
paling besar adalah kerana hasad kepada Adam dan adapun Qabil kerana hasadnya
kepada Habil maka berlakulah pembunuhan yang pertama di atas muka
bumi...(Hukama).
Penawar hati
daripada sifat hasad
Berikut antara
panduan yang boleh kita amalkan bagi
memelihara hati daripada mazmumah yang sangat bahaya ini. Bagi membuang kekejian sifat hasad tersebut,
hendaklah kita berusaha secara serius
dan bersungguh-sungguh.
· Ada ilmu yang
menyuluh persoalan hati.
· Sentiasa ingat
mati dan akhirat.
· Muhasabah dan
humum diri.
· Berguru dengan
guru yang Mursyid.
· Bergaul dengan
sahabat yang soleh.
· Mendekati orang
yang susah dan ditimpa musibah.
· Sentiasa
bertafakur tentang nikmat-nikmat Allah
· Lunakan hati
dengan al-Quran dan zikrullah.
· Istiqamah berdoa
kepada Allah.
Marilah kita
berusaha membebaskan hati dari penjajahan hasad dan kedengkian. Marilah kita membina keharmonian dalam hidup
menyuburkan mahmudah dan ketakwaan.
Sesungguhnya benarlah pesanan ini; “Tinggallah sifat hasad, nescaya
tenanglah hati kamu!”
Selamat
bermujahadah......
Petikan: anis Ogos ‘11
No comments:
Post a Comment