Seorang penyair Farsi pernah bermadah:

‘ Tidak semestinya dengan memandang (wajah) sahaja cinta terbentuk. Kadangkala khazanah cinta terbentuk dengan perkataan.’

Sebagaimana lahirnya cinta kita kepada Allah swt dan Rasulullah saw.
Kisah cinta Rabiatul Adawiyah kepada Rabbnya, menolak pinangan kerana cintanya hanyalah untuk YANG SATU...dan cintanya Bilal bin Rabbah kepada Rasulullah saw. Wafatnya Baginda, Bilal tidak lagi dapat melaungkan ‘azan kerana terlalu sedih mengingati Baginda. Kisah cinta sejati yang lahirnya dari sekeping daging yang suci, itulah............HATI........yang banyak berkata-kata...

Wednesday, 2 May 2012

SYURGA ATAU NERAKA...


Ibu Bapa Syurga @ Neraka anak?

Hak kewajipan anak-anak kepada kedua-dua ibu bapa amat besar dan dijelaskan secara terperinci oleh Allah swt dalam al_Quran dan Rasulullah saw dalam sunnatnya.  Menghormati, memuliakan dan berkhidmat kepada ibu bapa dalam Islam sebenarnya tanpa mengira waktu dan tempat atau hidup dan mati.  

Sewaktu hidup mereka perlu dihormati, ditaati dan dipatuhi.  Sebaliknya setelah mereka mati, mereka perlu didoakan, dipohon istighfar, ditunaikan segala amanah dan pesanan serta diraikan kaum kerabat dan sahabat handai mereka.

Kemuliaan seseorang kerana ketaatan dan kepatuhan terhadap ibunya merupakan anugerah Allah swt kepada seorang anak.  Jasa dan pengorbanan seorang ibu sememangnya tidak terbalas sehingga Rasulullah saw bersabda, “Syurga itu di bawah telapak kaki pada ibu.” (Riwayat Ibn Majah, No Hadis:2781, dan al-Tabrani, Jil 8, Hal. 372.)

Pengorbanan, ketaatan serta kepatuhan seorang anak sekalipun tidak dapat membalas jasa seorang ibu namum tetap mendapat anugerah dan kemuliaan di sisi Allah swt.  Islam menggariskan bahawa berbuat baik, taat dan patuh kepada ibu bapa adalah antara semulia-mulia amalan.  Rasulullah saw bersabda, “Semulia-mulia amalan ialah solat tepat pada waktunya dan berbuat baik (taat dan patuh) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Riwayah Muslim, dalam kitab al_Iman, No Hadis: 123)

Menderhaki ibu bapa pula  merupakan antara dosa-dosa besar. Rasulullah bersabda, Antara dosa-dosa besar ialah mensyirikkan Allah, menderhakai kedua ibu bapa, membunuh diri dan bersumpah palsu.” (HR Bukahri dan al-Termizi.)

Abu Umamah menceritakan bahawa seorang sahabat menemui Rasulullah saw dan bertanya kepada Baginda, “ Wahai Rasulullah saw, apakah hak kewajipan seorang anak kepada ibu bapanya? Lantas Rasulullah saw menjawab, “Mereka berdua adalah syurgamu dan nerakamu.”

Sabda Rasulullah saw sebagaimana diriwayatkan Abu Dawud daripada Abi Asid, beliau  berkata, “Saya berada di sisi Rasulullah saw, tiba-tiba datang kepada baginda seorang lelaki Ansar, lalu  bertanya, “ Wahai Rasulullah saw, apakah masih ada lagi kebaikan yang perlu saya lakukan selepas kematian kedua-dua orang tuaku?”  Lantas Rasulullah menjawab, “Ya, sentiasalah berdoa untuk mereka, sentiasa beristigfar bagi mereka, tunaikanlah janji/wasiat serta pesanan mereka setelah kematian mereka, memuliakan sahabat handai mereka, hubungkanlah silaturahim yang disebabkan oleh mereka, itulah apa yang perlu engkau lakukan sebagai sebahagian daripada bentuk berbuat baik kepada mereka selepas kematian mereka.” 


p/s: Sebagai peringatan kepada anak-anak yang masih ada ibu bapanya.  Kepada ibu bapa yang telah meninggal, kita sebagai anak masih  boleh berbuat sesuatu untuk mereka.

No comments:

Post a Comment